Ahad, 4 Mac 2012

DARI KEHANCURAN KHILAFAH ISLAMIYAH



 Kadang-kadang penemuan-penemuan itu seperti tidak ada kena-mengena dengan kita. Sebabnya banyak yang telah di sorokkan. Kalau ditanya untuk apa ia di sorok, bagaikan tiada alasan dan jawapan yang diberikan dan hanya sebuah alasan bagai melepas batuk ditangga sahaja.

Cuba kita bukakan minda sekali lagi, apakah sebabnya negara kita dijajah sehingga beratus tahun lamanya. Apakah penemuan yang bagaikan wajib untuk dijajah sehingga begitu lama? Kenapa Jepun yang telah menyerah kalah tetapi tidak dijajah? Thailand yang tak berapa kuat pun tak juga dijajahnya sedangkan Negara China yang kuat itu pernah dijajah dan dirampas tanah mereka. Apakah yang ada disana dan disini? Apakah hasil yang dikaut selain hanya bijih timah yang rasanya tak perlu menjajah untuknya. Mungkin ada sesuatu agenda yang tersembunyi disebalik semua itu.

Tanah Melayu pada era  abad ke 15 dan 18  telahpun diketahui sebuah daratan yang mempunyai majoriti rakyatnya berugama Islam termasuk juga kepulauan Sumatera dan Kalimatan serta kepulauan kecil disekitarnya. Mereka ini amat mesra dan menjalinkan hubungan perdagangan dengan Negara China melalui jalan laut. Negara Thailand yang majoritinya berugama buddha pula dilihat berkuasa keatas beberapa negeri di sebelah utara Tanah Melayu. Pada masa itu, jika hendak menjatuhkan Tanah Melayu mesti menguasai Thailand dan China juga. Maknanya Myanmar,Kemboja dan Laos juga tidak terkecuali.

Siapakah yang menjadi idola oleh kerajaan dan rakyat Tanah melayu waktu itu? Sudah tentu empayar Turki Uthmaniah telah menjadi idola kepada mereka kerana pada masa itu Turki Uthmaniah adalah sebuah Negara khilafah yang dilihat sebagai berjaya dengan pemerintahan Islamik dan merangkumi seluruh negara-negara di timur tengah. Kerajaan Turki dikatakan kuat dari segi ekonomi dengan kedudukannya yang strategic dan menjadi pusat pengajian dan penyebaran agama Islam terulung. Ramai para ulamak dilahirkan oleh kerajaan Turki dan berbagai kitab berjaya ditulis oleh ulamak disana sebagai menjalankan dakwah Islamiah keserata pelosok dunia pada waktu itu. Orang-orang Islam seluruh dunia pada waktu itu juga patuh kepada kekhilafahan Turki sehingga seruan-seruan dan fatwa-fatwa dapat diterima oleh segenap umat Islam diserata dunia. Pendek kata, Islam bersatu dibawah satu khilafah yang agung dan maju sehinggakan dilihat seperti tidak akan mampu diganggu gugat lagi. Namun pada abad ke 20 telah menyaksikan kejatuhan kerajaan khilafah agung itu tersungkur rebah menyembah bumi sampai sekarang.

Di Tanah Melayu pula, rakyatnya yang dikenali dengan kepatuhan pada pemerintah mereka yang digelar sultan dan raja. Sultan dan raja ini berpegang teguh dengan ajaran Islam dan menjadikan Kerajaan Turki sebagai rujukan dan tempat melanjutkan pendidikan rakyatnya dalam aliran agama yang pada masa itu (sebelum kedatangan British) hanya ada pondok-pondok sebagai institusi pendidikan bagi Tanah Melayu.

Setelah pihak British sampai dan mula mengambil kesempatan menguasai para pemerintah (raja-raja dan sultan) di pantai barat semenanjung dengan melantik penasihat dari kalangan ‘orang putih’ atau ‘mat saleh’ yang menawarkan bantuan perlindungan keselamatan ketenteraan, pendidikan, sistem beraja dan pembangunan ekoran sering berlakunya perang saudara dan rusuhan oleh kaum cina di negeri-negeri Melayu memaksa pemerintah akur dengan British. Semua itu bukanlah percuma, ianya bersyarat supaya hal ehwal pemerintahan diterajui oleh mereka kecuali hal ehwal adat istiadat dan ugama Islam tidak akan di ganggu oleh mereka tanpa mengurangkan daulat raja-raja dan sultan keatas wilayah takluk asal.

Semuanya bermula dengan perjanjian Burney di Bangkok pada tahun 1826, menyaksikan Kedah dan Patani sebagai tanah jajahan Siam dan Pulau Pinang dan Seberang Perai milik British (kompeni Hindia Timur Inggeris). Bermula dari situ awal abad ke 20 penjajahan  berjaya keatas Perak, Selangor, N.Sembilan dan Pahang walaupun ditentang pejuang-pejuang Melayu, namun gagal. Setelah itu pihak British alihkan perhatian pula ke negeri-negeri Melayu utara dan pantai timur semenanjung pula. Patani dengan gelaran ‘serambi Mekah’telah ditakluk sepenuhnya oleh Siam apabila rajanya yang terakhir, Tengku Abdul Kadir Kamaruddin telah ditangkap dan kerajaannya digulingkan pada tahun 1902. Pada tahun 1907 British dan Siam mula berunding mengenai kedudukan negeri-negeri utara dan timur sehingga pada 10 Mac 1909 persetujuan telah dicapai dalam Perjanjian Bangkok dengan keputusan, British mengambil alih Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Siam menakluk Patani, Menara, Jalor dan Setol.

Sementara itu di Eropah, kerajaan Turki Uthmaniah telah mengisytiharkan perang terhadap Britain. Pada masa yang sama Jerman juga sedang memerangi kerajaan British, seterusnya Kerajaan Turki memihak kepada Jerman. Ia berpunca daripada kapal perang British telah menceroboh perairan wilayah Turki. Shaykh-al-Islam, Khaiyri Effendi telah mengeluarkan fatwa Jihad-i Ekhbar Fardi Ayn terhadap kerajaan British dan sekutunya pada 14 November 1914. Kenyataan fatwa yang dikeluarkan oleh shaykh-al-Islam adalah mendakwa pihak British berusaha menjatuhkan kerajaan Islam Uthmaniah dan menakluki negara-negara Islam. Kerajaan Turki Uthmaniah bertekad untuk mempertahankan wilayah danmaruah umat Islam di seluruh dunia dari kuasa-kuasa kufar sejajar dengan tuntutan agama.

Manakala pada masa yang sama, di negeri-negeri Melayu pula pihak British mula mencanang bahawa peperangan itu tidak ada kaitan dengan agama Islam dan memberi jaminan bahawa  tenteranya bersama Perancis dan Rusia tidak akan mengusik tempat-tempat suci umat Islam dan tidak akan mengganggu umat-umat Islam yang pergi haji serta tidak akan menyerang negeri Mekah walaupun berada didalam jajahan Uthmaniah yang diserang itu. Untuk menguatkan dakwaannya, British telah mengedarkan  surat yang ditulis oleh Aga Khan, ketua fahaman Syiah dari India dengan kenyataan yang sama iaitu dengan menafikan peperangan itu berkaitan dengan agama Islam.

      Di Kelantan, Langham Carter telah mengadap Sultan Muhammad ke-iv dan meminta sokongan Sultan menyebelahi Kerajaan England supaya mengeluarkan titah kepada rakyat Kelantan untuk tidak membuat huru-hara ekoran peperangan antara Turki dan England serta sekutu-sekutunya. Antara titah-titah yang dipaksa kepada Sultan untuk menitahkan notis sebagai berikut (telah diringkaskan dan di ubah gaya bahasa dari surat yang asal) : 

  1.       Rakyat Kelantan tidak boleh tunjukkan sokongan terhadap Kerajaan Turki Uthmaniah didalam peperangan ini
  2.           Tidak boleh menolong Kerajaan Turki Uthmaniah dalam apa-apa cara sekali pun.
  3.       Jika ada sesiapa yang melanggar peraturan itu akan di hukum kerana bercakap perkara yang sia-sia.
  4.       Sesiapa yang bersalah akan dihukum mengikut perkiraan Sultan atas persetujuan atau perkiraan dengan British Advisor.

Namun notis ini tidak dapat menghalang rakyat Kelantan dari memperkatakan tentang peperangan itu tambahan pula telas berlaku kekacauan di Singapura pada 15 Februari 1915. Kekacauan dimulakan oleh askar-askar Indian Muslim dari Pasukan Fifth Light Infantry yang diketuai oleh Haji Nur Alam Shah, Imam Masjid Kampong Jawa diatas menyahut seruan jihad oleh Kerajaan Islam Turki Uthmaniah.

Dari sejarah yang ringkas ini, dapat dilihat bagaimana British telah menguasai dan  memanipulasikan minda orang-orang Islam di seluruh dunia melalui tektik-tektik kotor. Di negeri-negeri Melayu, British telah menghasut sultan-sultan dan raja-raja Melayu dengan pembohongan supaya tidak berlakunya pemberontakan yang jika ianya berlaku akan mengakibatkan kebangkitan umat Islam seterusnya mungkin menggagalkan usaha mereka untuk menjatuhkan kekuasaan Islam didunia. Walaupun mereka berjaya menghalang kebangkitan umat Islam keseluruhannya namun masih ada pemberontakkan kecil yang bukan kepalang juga. Sehingga hari ini terdapat pahatan sejarah kebangkitan pejuang-pejuang Melayu tanpa fakta dan infomasi yang benar iaitu mereka itu kononnya menentang kekejaman atau penganiayaan rakyat semata-mata. Sebenarnya, berapalah sangat nilai penganiayaan dan kesusahan yang ditanggung sehinggakan sanggup bekorban nyawa. Pejuang-pejuang Melayu tidak akan mahu mati hanya kerana perkara yang sia-sia atau kerana semata-mata hal-hal keduniaan melainkan menyahut seruan jihad oleh Khilafah yang terakhir itu.

Pada 10 Mac 1924 telah menyaksikan jatuh tersungkurnya Kerajaan Khilafah terakhir tanpa dibantu oleh umat Islam yang lain dan pihak British juga tidak berhenti setakat itu. Negara Islam di timur tengah telah dibina semula dengan acuan dari barat yang mengangkat pemimpin yang pro-barat. Tidak terkecuali tanah suci bagi umat Islam iaitu Mekah dan Madinah serta juga Palestin yang kian hancur sekarang ini. Agenda yang berlaku dicanang sana-sini adalah dari kemunafikkan Mustaffa Kamal Atartuk Laknatullah namun sebenarnya kekuasaan Islam ini telah jatuh itu akibat dari umat Islam sendiri yang leka dengan fitnah-fitnah barat. Dengan automatik dunia Islam mula dikuasai oleh barat atau lebih jelas lagi puak-puak kafir Kristian. Ingin diselitkan juga disini, bagaimana tentera Perancis menakluki Algeria selepas kejatuhan Kerajaan Khilafah Uthmaniah yang menyaksikan umat Islam disana telah di aibkan dengan pelbagai cara termasuk juga anak-anak gadis mereka yang memakai jubbah dan berhijab dibogelkan dikhalayak keluarga dan dirogol sesuka hati. Dimanakah kita pada waktu itu? Apakah kita sanggup untuk melihat maruah kita terus tergadai sewenang-wenangnya.

Apakah ini semua adalah hasil dari Persidangan Gereja-gereja Kristian yang berlangsung di Cairo pada tahun 1909 yang memutuskan bahawa ‘agama Islam adalah merbahaya dan perlu dibendung. Sekiranya Negara Islam hendak dijajah hendaklah umatnya juga dikristiankan’. Mari kita lihat perkembangan umat Islam hari ini yang menyaksikan telah berapa ramai muda-mudi kita telah dikristiankan oleh mubaligh-mubaligh mereka. Apakah dendam dan suntikan halus mereka belum selesai lagi sehingga ada dikalangan kita yang sanggup menjadi batu penghalang terhadap penubuhan dan pelaksanaan hukum-hukum Islam dan berupaya memecah belahkan umat dengan membayangi kita kenikmatan duniawi semata-mata.

SEJARAH BUKAN HANYA PERLU DIHAYATI SAHAJA.

-RDM-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan