Kini sekali lagi kita berada di bulan Ramadhan al Mubarak 1433 H. Bulan yang
dinanti-nantikan oleh mereka yang beriman, yang sayangkan Allah dan RasulNya,
yang takut kepada azab Allah dan merindui syurgaNya, bulan yang penuh dengan
keberkatan dan kemuliaan, bulan yang lebih baik dari seribu bulan. Allah Maha
Penyayang akan melipat gandakan segala amal kebaikan yang dibuat di dalam bulan
ini sebagai tanda kasihNya kepada mereka yang ikhlas beribadah kepadaNya. Di
bulan inilah Allah membuka semua pintu syurga dan menutup semua pintu neraka
serta membelenggu semua syaitan, kecuali ‘syaitan manusia’. Syaitan inilah yang
akan merosakkan kesucian bulan Ramadhan dengan segala kemaksiatan yang
dilakukannya. Syaitan inilah yang tidak pernah berhenti melakukan kerosakan di
muka bumi terutamanya segala bentuk kejahatan, kekejaman dan kezaliman ke atas
mereka yang benar-benar ikhlas beriman dan berjuang untuk meninggikan kalimah
Allah dengan menegakkan DeenNya di dunia ini.
Seperti biasa umat Islam diseluruh dunia menyambut Ramadhan pada kali ini sama
seperti Ramadhan tahun-tahun yang lepas, penuh dengan kisah sedih dan
memilukan. Umat Islam masih berpecah, negara mereka masih dibatasi sempadan
palsu ciptaan penjajah. Kalau pada Ramadhan yang lepas-lepas kita menyaksikan
umat Islam di Afghanistan, Iraq dan Palestin menjalani ibadah puasa di dalam
keadaan berlinangan darah dan air mata kesan dari kebiadaban kaum kuffar yang
menjajah dan mengganas di bumi mereka, pada tahun ini umat Islam di Syria &
Myanmar pula menerima nasib yang sama. Di bahagian lain dunia Islam, sebahagian
umat Islam berbangga dengan keamanan yang dikecapi oleh negara mereka dengan
hanya berpangku tubuh menyaksi dan membiarkan penderitaan yang dialami saudara
segama mereka. Hilang sudah keimanan, lenyap sudah persaudaraan, terhapus sudah
segala kasih sayang sesama saudara Islam. Inilah secebis coretan kesedihan yang
secara berterusan menimpa umat Islam sehingga saat ini, termasuklah ketika
mereka berada di dalam bulan yang penuh dengan kemuliaan ini. Dan untuk
Ramadhan tahun-tahun hadapan, apakah kita akan terus menyaksikan nasib yang
sama menimpa umat Islam?
Ramadhan Di Masa Rasulullah Dan Khilafah
Kita sedia maklum bahawa Rasulullah menganjur agar kita memperbanyakkan
pelbagai aktiviti ibadah di bulan yang penuh berkat ini. Setiap tahun kita
mendengar nasihat dan seruan tentang keutamaan beribadah di dalam bulan
Ramadhan. Tetapi kita jarang dijelaskan dengan peristiwa-peristiwa penting yang
berlaku di bulan Ramadhan yang menunjukkan bukti kualiti puasa Rasulullah dan
para sahabat yang wajib dicontohi. Rasulullah dan para sahabat menjalani ibadah
puasa tidak sekadar menahan diri dari hal-hal yang membatalkannya sahaja, malah
baginda dan para sahabat sering menjalani puasa serentak dengan aktiviti tertinggi
dalam ibadah, yakni jihad fi sabilillah. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa
Sallam mengkhabarkan bahawa orang yang berpuasa dalam keadaan jihad fi
sabilillah pasti dijauhkan dari api neraka sejauh-jauhnya. Baginda bersabda,
“Tidaklah seorang hamba berpuasa satu hari dalam jihad fi sabilillah melainkan
pada hari itu Allah menjauhkan wajahnya dari neraka sejauh 70 tahun
perjalanan.” [HR Bukhari, Muslim dan at-Tirmidzi].
Sejarah telah mencatat bahawa pelbagai peperangan terjadi pada bulan Ramadhan.
Perang Badar al-Kubra terjadi pada tanggal 17 Ramadhan tahun ke-2H. Rasulullah
dan para sahabat memahami bahawa tidak ada bezanya kewajipan berpuasa dengan
kewajipan jihad. Malah puasa yang sedang mereka lakukan benar-benar menjadi
penguat ruhiyah yang jauh melebihi kekuatan fizikal. Dengan pertolongan Allah
kaum Muslimin berhasil mengalahkan pasukan kafir Quraish meskipun secara
fizikal dan material memihak kepada Quraish. Pada bulan Ramadhan tahun 5H pula,
Rasulullah dan para sahabat melakukan persiapan untuk Perang Khandak. Persiapan
dilakukan dengan menggali parit (khandak) di sekeliling kota Madinah. Taktik
yang diusulkan oleh Salman Al-Farisi ini tidak pernah digunakan oleh bangsa
Arab sebelum ini. Peperangan Khandak akhirnya terjadi pada bulan Syawal dan berakhir
pada bulan Dzulkaedah dengan kemenangan berpihak kepada kaum Muslimin setelah
Allah menurunkan bantuanNya.
Satu lagi peristiwa penting berlaku pada 21 Ramadhan 8H yakni Fathul
(pembukaan) Mekah. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam keluar dari Madinah
pada 10 Ramadhan dan berpuasa, lalu diikuti para sahabat. Mereka berbuka di
suatu tempat yang dipanggil Mukaddid (antara Asfan dengan Amjad). Mekah jatuh
ke tangan kaum Muslimin tanpa pertumpahan darah. Menurut Ibnu Ishaq, penaklukan
itu terjadi pada 10 malam terakhir bulan Ramadhan. Peristiwa penting ini telah
menyaksikan berapa ramai dari para sahabat khasnya golongan Muhajirin
menitiskan air mata gembira kerana kejayaan mereka ’menawan’ kembali kota yang
dulunya menjadi tempat mereka dihina dan disiksa di dalam perjuangan menegakkan
agama Allah.
Pada bulan Ramadhan tahun 91H, pasukan tentera Islam mendarat di selatan Pantai
Andalusia (Sepanyol) dan terus berjihad. Kemudian pada Ramadhan tahun
berikutnya Panglima Thariq bin Ziyad berjaya mengalahkan Raja Roderick.
Ramadhan 584H pula menyaksikan Panglima Islam yang terkenal, Salahuddin
Al-Ayyubi mendapat kemenangan besar ke atas tentera Salib. Tentera Islam
menguasai daerah-daerah yang sebelumnya dikuasai oleh tentera Salib. Oleh
kerana bulan Ramadhan, penasihat-penasihat Salahuddin menyarankan agar dia
berehat kerana risau ajalnya tiba, tetapi Salahuddin menjawab "Umur itu
pendek dan ajal itu sentiasa mengancam". Kemudian tentera Islam yang
dipimpinnya terus berperang dan berjaya merampas benteng Shafad yang kuat.
Seterusnya dalam bulan Ramadhan 658H, tentera Mongol berjaya dikalahkan di ‘Ain
Jalut dan Palestin kembali ke tangan kaum Muslimin.
Banyak lagi peperangan lain yang berlaku di masa Rasulullah dan juga para
khulafa’ semasa bulan Ramadhan yang tidak dapat diungkapkan di sini. Catatan
sejarah membuktikan kepada kita bahawa bulan Ramadhan bukan sahaja dipenuhi
dengan ibadah khusus tetapi juga penuh dengan perjuangan untuk menyebarkan
agama Allah dan meninggikan syiar Islam. Beberapa peristiwa yang tercatit juga
menunjukkan betapa Rasulullah dan para khalifah sentiasa berusaha menyebarkan
rahmat Allah di muka bumi dengan jalan dakwah dan jihad meskipun mereka dalam
keadaan lapar dan dahaga. Mereka tidak rela melihat dan membiarkan umat Islam
terus berada di bawah kekuasaan musuh mereka. Mereka sentiasa memerangi kaum
kuffar demi menjaga nasib umat Islam dari ditindas dan diancam oleh musuh
Allah.
Justeru, apakah umat Islam saat ini terfikir akan nasib yang dilalui oleh
mereka dan apakah yang perlu mereka lakukan bagi mengangkat dan merungkai
penderitaan yang tidak kunjung sudahnya sejak jatuhnya Daulah Khilafah pada 3
Mac 1924 hinggalah kini. Tahun ini, umat Islam sekali lagi menjalani ibadah
puasa Ramadhan di dalam keadaan vakum, tanpa adanya sebuah institusi politik
yang pernah menaungi dan melindungi mereka suatu ketika dulu. Sudah 91 tahun
Daulah Khilafah dihancurkan oleh musuh-musuh Allah dengan kerjasama oleh sang
pengkhianat dari pemimpin-pemimpin umat Islam sendiri. Sekarang ini, muncul
pula para pengkhianat lain yang mewarisi dan mempertahankan negara
masing-masing yang telah dihadiahkan oleh penjajah kuffar. Mereka
bersungguh-sungguh mempertahankan negara masing-masing walhal apa yang
sepatutnya mereka pertahankan ialah Islam dan umatnya. Mereka takutkan musuh
Allah, Amerika dan sekutunya, walhal apa yang sepatutnya mereka takutkan ialah
Allah dan azabNya. Mereka mencari perlindungan, kemuliaan dan kekuatan dari
orang-orang kafir yang jelas-jelas merupakan musuh Allah dan musuh mereka
sendiri, walhal sepatutnya mereka mencari kemuliaan dan kekuatan dari Allah.
Mereka menjadi lemah dan pengecut dan tunduk kepada kaum kuffar, walhal Allah
Subhanahu wa Ta’ala berfirman “Padahal kekuatan itu hanyalah bagi Allah,
RasulNya dan bagi orang-orang mukmin, tetapi orang-orang munafik itu tidak
mengetahui” [TMQ Al-Munafiqun (63):8].
Perpecahan Umat Islam Menyambut Ramadhan
Lapar dan dahaga adalah satu pakej bagi mereka yang menjalani ibadah puasa di
sepanjang Ramadhan. Bagi mereka yang benar-benar ikhlas berpuasa kerana Allah,
maka lapar dan dahaganya hanyalah untuk Allah semata-mata dan mereka beroleh
pahala kerananya. Bagi yang berpuasa, tetapi dalam masa yang sama memaksiati
Allah, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam mengingatkan, "Betapa ramai
orang yang puasa, ia tidak mendapatkan apa-apa dari puasanya itu selain lapar
dan dahaga dan berapa ramai orang yang solat (tarawih) tidak mendapatkan
apa-apa dari solatnya itu kecuali mengantuk” [HR Ad-Darimi dan Ibnu Majah].
Rasa lapar dan dahaga semasa menjalani ibadah puasa ini sepatutnya menyedar dan
menginsafkan kita akan kelemahan kita di hadapan Allah Azza wa Jalla. Kuat,
kaya atau berkuasa mana kita sekalipun, tanpa minuman dan makanan (rezeki) dari
Allah, maka kita akan binasa. Jika saja Allah menghapuskan sumber air di muka
bumi, maka hancurlah manusia! Maka tidak sepatutnya manusia itu tidak
mensyukuri nikmat Allah dan menderhaka kepadaNya. Firman Allah Subhanahu wa
Ta’ala: “Wahai manusia! kamulah yang memerlukan Allah dan Allah Dialah Yang
Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) lagi Maha Terpuji”. [TMQ Fatir (35):15].
Rezeki yang Allah curahkan kepada manusia kadang-kadang menyebabkan manusia
lupa daratan. Mereka yang memegang kekuasaan dianugerahkan Allah dengan segala
kesenangan, tetapi ternyata kesenangan ini telah melupakan mereka. Di saat
mereka hanya mengalami lapar dan dahaga di bulan Ramadhan, terdapat ramai
rakyat yang mengalami kelaparan dan kebuluran di setiap bulan. Di saat mereka
berbuka dengan hidangan yang paling lazat mengikut apa yang mereka kehendaki,
terdapat rakyat yang masih ramai berbuka hanya dengan segelas air dan secebis
roti. Di tengah-tengah kekayaan hasil bumi yang dianugerahkan Allah kepada
negeri mereka, mereka mengautnya sesuka hati dengan membiar dan menyaksikan
rakyat mereka menderita dibumi sendiri. Mereka solat dan berpuasa walhal mereka
menderhaka kepada Sang Pencipta. Mereka tidak menerapkan hukum mengikut apa
yang telah diturunkan oleh Allah, sebaliknya mengambil hukum rimba yang penuh
dengan penindasan dan kekejaman.
Perlu kita sedari bahawa sesungguhnya puasa pada bulan Ramadhan merupakan salah
satu syiar yang boleh menyatukan kaum Muslimin tanpa mengira warna kulit,
bangsa, bahasa dan perbezaan lainnya. Ia juga akan mengingatkan kita bahawa
agama kita adalah satu yakni Islam, Tuhan kita adalah satu yakni Allah
Subhanahu wa Ta’ala, Nabi kita adalah satu yakni Rasulullah Sallallahu ‘alaihi
wa Sallam, kitab kita adalah satu yakni Al-Qur’anul Karim, kiblat kita adalah
satu yakni Ka’bah, negara kita adalah satu yakni Daulah Khilafah, pemimpin
tertinggi kita adalah satu, yakni Khalifah dan kita adalah umat yang satu,
yakni umat Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa Sallam Firman Allah Subhanahu wa
Ta’ala, “Sesungguhnya (agama tauhid) inilah agama kamu agama yang satu dan Aku
adalah Tuhanmu maka sembahlah Aku” [TMQ: Al-Anbiya’(21):92]. Oleh kerana itu,
adalah suatu keharaman bagi kita kaum Muslimin terpecah belah kepada lebih 50
buah negara, tercerai-berai oleh semangat nasionalisme, patriotisme, dan
fanatisme golongan dan mazhab.
Menelusuri Sebab Munculnya Perbezaan Awal Ramadhan.
Apabila ditelusuri dengan saksama, munculnya keragaman penentuan awal Ramadhan
itu dapat dikembalikan kepada tiga faktor yang menjadi penyebabnya iaitu:
(i) Hilangnya institusi antarabangsa penyatu umat (Khilafah) yang memegang
kekuasaan dalam menentukan dan mengambil keputusan untuk mengatasi perselisihan
di antara kaum Muslimin di seluruh dunia.
(ii) Ramainya penguasa kaum Muslimin yang memerintah atas dasar patriotisme dan
nasionalisme yang menetapkan tarikh hanya untuk negara mereka.
(iii) Perbedaan metodologi dalam penentuan awal Ramadhan.
Urusan-urusan kaum Muslimin di masa pemerintahan Islam berjalan dengan baik di
bawah perlindungan Amirul Mukminin atau Khalifah, samada menyangkut aktiviti
yang berhubungan dengan politik, sosial, muamalah dan sebagainya, apatah lagi
urusan ibadah. Negara melalui kekuasaan Khalifah menyelenggarakannya secara
baik sesuai dengan ketentuan hukum-hukum syariat Islam. Ketidakseragaman di
sekitar penetapan awal Ramadhan tidak pernah terjadi.
Setelah runtuhnya Daulah Khilafah, musuh kita telah memecahkan negeri-negeri
kita hingga menjadi entiti-entiti kecil yang lemah dan bermusuhan antara satu
sama lain. Mereka seterusnya menyerahkan urusan pemerintahan kepada para penguasa
yang telah dilatih dan dipercayai oleh mereka untuk menerapkan hukum mereka
yang kufur. Mereka kemudian melakarkan kawasan untuk kita dan menanamkan racun
nasionalisme dan patriotisme agar kita berpegang teguh kepadanya. Maka setelah
itu, kita mendapati orang-orang Syria atau Iran menjadi asing dan tak sah
tinggal di bumi Mesir, orang Iraq atau Pakistan menjadi asing di bumi Turki,
orang-orang Jordan dan Iran tidak sah tinggal di Lebanon walaupun kita mengucap
kalimah tauhid yang sama. Bumi Allah ini telah menjadi sempit bagi kita
semata-mata kerana dibatasi oleh sempadan-sempadan geografi yang dibuat oleh
musuh Allah ke atas kita, dan dipertahankan oleh penguasa-penguasa boneka yang
telah ’disahkan’ jawatannya oleh kaum kuffar la’natullah. Walhal Maha Suci
Allah yang telah mewariskan bumiNya kepada orang-orang yang beriman agar
menjadi Khalifah di dalamnya dan menerapkan hukum-hukumNya.
Apa yang lebih mendukacitakan, setelah wujud negara-negara bangsa ciptaan
penjajah ini, umat Islam telah bergaduh dan berperang sesama sendiri hanya
kerana ingin mempertahankan batas-batas palsu di antara mereka. Situasi buruk
ini juga berlaku pada hukum-hukum ibadah seperti haji, umrah dan juga melihat
anak bulan (ru’yatul hilal) samada Ramadhan mahupun Syawal. Justeru kita
melihat umat Islam di Sudan telah mula berpuasa walhal di Aljazair belum, umat
Islam di Indonesia mula berhari raya walhal di Malaysia belum dan begitulah
seterusnya. Padahal yang memisahkan mereka hanyalah sempadan-sempadan khayalan
yang dicipta oleh golongan kafir penjajah. Fenomena ini bertambah parah dengan
munculnya para penguasa di negeri-negeri kaum Muslimin yang berdiri atas dasar
nasionalisme yang menerapkan sistem kufur serta tidak mengendahkan pelaksanaan
hukum-hukum syara’. Lebih keji, pemikiran mereka dipenuhi dengan hasad dengki
dan kebusukan. Mereka bersungguh-sungguh menghalang dari dilaksanakan hukum
Allah di muka bumi kerana kecintaan mereka kepada dunia di dalam rangka
mempertahankan kedudukan, ego, harta, pangkat, darjat dan kekuasaan yang mereka
miliki. Mereka lupa bahawa Allah itu Maha Berkuasa dan boleh menghapuskan
mereka dengan sekelip mata.
Khatimah
Wahai kaum Muslimin! Munculnya perbezaan dalam penetapan awal Ramadhan dan
Eidul Fitri hanyalah salah satu dari pelbagai masalah perpecahan yang dihadapi
oleh umat Islam saat ini. Lenyapnya Daulah Khilafah Islamiyyah yang mengatur
dan mempersatukan urusan umat Islam menjadi punca kepada segala permasalahan.
Penerapan sistem sekular yang memisahkan agama dari kehidupan menyebabkan kaum
Muslimin berpecah sehinggalah ke hukum-hukum ibadah. Marilah bersatu wahai
saudaraku! Tinggalkanlah segala batas sempadan palsu yang dibina di antara
kalian, marilah menuju kepada penyatuan dan persaudaraan. Sesungguhnya tidak
ada sempadan yang boleh memisahkan umat Muhammad kerana Allah telah menyatukan
mereka dengan kalimah yang sama.
Wahai kaum Muslimin! Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam telah meninggalkan
kita hanya dengan satu negara, bukan 57. Rasulullah telah meninggalkan kita
dengan sebuah penyatuan, bukan perpecahan. Demi Allah wahai saudaraku!
Rasulullah tidak ingin dan tidak redha melihat umatnya berpecah belah. Justeru,
marilah kita kembali menggembeling segala usaha dan kekuatan untuk
meyatupadukan semula umat Islam di bawah satu kesatuan Daulah Khilafah. Inilah
penyatuan hakiki umat Islam. Pada bulan Ramadhan tahun ini, selama 91 tahun
kita telah menyambut Ramadhan tanpa Khalifah. Tentunya umat Islam yang ikhlas
amat merindukan pidato dan khutbah Ramadhan yang satu untuk seluruh kaum
Muslimin sedunia. Untuk membangkitkan kerinduan akan tradisi itu serta
menyatukan perasaan dan pemikiran kita, maka kami cuba mengangkat kembali
khutbah Ramadhan Rasullullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam agar kita dapat
menghayatinya. Mengingatkan tidak adanya Khalifah yang dapat kita dengar
khutbah Ramadhannya pada hari ini, maka kami paparkan pesanan yang telah
dikhutbahkan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam lebih kurang 1,300
tahun yang lepas dengan harapan kedatangan Ramadhan kali ini akan memberikan
momentum kepada kita untuk terus bergerak menegakkan Daulah Khilafah. Insya
Allah.
Khutbah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam
Imam Ibnu Khuzaimah dalam kitab At Targhib Juz II/217-218 meriwayatkan satu
hadis dari sahabat Salman r.a yang mengatakan bahawa Rasullullah s.a.w pada
hari terakhir bulan Sya’ban berkhutbah di hadapan kaum Muslimin sebagaimana
berikut: "Wahai manusia! Sesungguhnya kalian akan dinaungi oleh satu bulan
yang agung lagi penuh berkah, iaitu bulan yang di dalamnya ada satu malam yang
lebih baik daripada seribu bulan, bulan yang Allah telah menjadikan puasa
kepadaNya suatu kewajiban dan qiyam (solat) pada malam harinya suatu tathawwu'
(ibadah sunat yang sangat dianjurkan). Sesiapa yang mendekatkan diri kepada
Allah dengan suatu pekerjaan kebajikan (sunat) di dalamnya (ia diganjar pahala)
sama seperti menunaikan kewajiban di bulan Ramadhan. Sesiapa yang melakukan
ibadah yang wajib (ia diganjar pahala) sama dengan orang yang mengerjakan 70
kali kewajiban tersebut di bulan yang lain. Ramadhan adalah syurga (al jannah).
Ramadhan itu bulan sabar, sedangkan sabar itu pahalanya adalah syurga (al
jannah). Ramadhan itu adalah bulan memberikan pertolongan dan bulan Allah
menambah rezeki para mukmin di dalamnya. Siapa saja yang pada bulan itu
memberikan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa, maka perbuatan itu
menjadi pengampunan atas dosa-dosanya, kemerdekaan dirinya dari api neraka. Dan
ia mendapatkan pahala seperti pahala orang berpuasa yang diberinya makanan
berbuka itu tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa itu". Para sahabat
berkata: "Ya Rasulullah, tidak semua dari kami memiliki makanan berbuka
untuk orang-orang yang berpuasa". Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam
pun menjawab: "Allah memberikan pahala kepada orang yang memberikan
sebutir korma sekalipun atau sekadar seteguk air atau sehirup susu. Bulan
Ramadhan ini adalah bulan yang permulaannya adalah rahmat, pertengahannya
adalah keampunan, dan akhirnya adalah pembebasan dari neraka. Siapa saja yang
meringankan beban dari orang yang dikuasainya (hamba sahaya atau bawahannya),
nescaya Allah mengampuni dosanya dan membebaskannya dari api neraka. Kerana itu
perbanyakkanlah empat perkara di bulan Ramadhan ini. Dua perkara yang dengannya
kalian menyenangkan Tuhan kalian dan dua perkara lainnya sangat kalian
harapkan. Dua perkara yang kalian lakukan untuk menyenangkan Tuhan kalian
adalah: mengakui dengan sesungguhnya bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan
kalian memohon ampunan kepadaNya. Adapun dua perkara yang sangat kalian harapkan
adalah kalian memohon syurgaNya dan berlindung dari api neraka. Siapa saja yang
memberi minum kepada orang yang bepuasa nescaya Allah akan memberinya minum
dari air kolamku dengan suatu minuman yang dia tidak merasa haus lagi
sesudahnya hingga ia masuk syurga".—